JBPM S’wak kenal pasti 345 lokasi berisiko banjir

KUCHING, 27 DIS – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengenal pasti 345 lokasi berisiko banjir di negeri ini, menurut Pengarahnya Datuk Khirudin Drahman.

Beliau berkata pihaknya bersiap sedia menggerakkan kira-kira 1,400 pegawai dan anggota termasuk 257 pegawai bomba bantuan (PBB) untuk menghadapi fenomena luruan monsun.

“Selain kawasan banjir, JPBM juga telah mengenal pasti kira-kira 77 lokasi berisiko tanah runtuh jika hujan lebat berterusan yang kebanyakan terletak di kawasan Sri Aman dan Sibu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Minggu lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan berterusan di timur Johor, timur Sabah dan barat Sarawak bermula hari ini hingga Khamis akibat luruan monsun iaitu angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan. Khirudin berkata bagi memastikan kelancaran operasi, pihaknya telah membekukan cuti pegawai dan anggota jabatan itu selain menyediakan peralatan logistik darat, laut serta udara yang boleh diatur gerak pada bila-bila masa.

“JPBM Sarawak mempunyai 16 lori, 67 kenderaan pacuan empat roda, 37 bot penyelamat, sebuah helikopter dan 18 kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selain menyediakan 38 tempat pendaratan helikopter di 22 daerah bagi pemindahan mangsa banjir, penghantaran bantuan atau kes kecemasan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan paras sungai dan taburan hujan di kawasan kediaman serta segera memaklumkan kepada bomba sekiranya memerlukan bantuan. – Bernama