JBS bayar AS$11 juta kepada penggodam ransomware

WASHINGTON, 10 JUN – JBS, salah satu syarikat pemprosesan daging terbesar di dunia telah membayar penggodam sebanyak AS$11 juta nilai bitcoin untuk mencegah sebarang gangguan seterusnya selepas serangan siber melumpuhkan yang dipercayai berasal dari Rusia.

Ia adalah bayaran berjuta dolar kali kedua kepada penggodam dalam masa beberapa minggu, mencetuskan perhatian kepada ancaman meluas oleh ransomware kepada infrastruktur, perkhidmatan dan perniagaan penting.

Penggodam telah menyasarkan sistem komputer JBS berpangkalan di Brazil minggu lalu, menjejaskan operasi di Amerika Syarikat, Australia dan Kanada. Cawangan syarikat di AS berkata kelmarin ia telah membayar tebusan yang nilainya bersamaan AS$11 juta.

“Ini adalah keputusan yang sukar dibuat untuk syarikat dan bagi saya secara peribadi,” kata Andre Nogueira, Ketua Pegawai Eksekutif JBS AS.

“Bagaimanapun, kami merasakan keputusan itu perlu dibuat demi mencegah sebarang risiko ke atas pelanggan.”

Syarikat itu berkata ia membuat pembayaran itu ‘untuk mengurangkan isu-isu yang tidak diduga berkaitan dengan serangan dan memastikan tidak ada data dihapuskan atau dibocorkan.

Nogueira memberitahu Wall Street Journal tebusan itu dibayar dalam bentuk bitcoin.

Penggodaman ke atas JBS merupakan serangan ransomware kedua terbesar ke atas entiti besar AS dalam masa beberapa minggu.

Serangan siber pada Mei memaksa penutupan sementara rangkaian talian paip minyak Colonial di timur AS dan mencetuskan pembelian panik di beberapa negeri. – AFP