JOHOR BAHRU, 1 SEPT – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengadakan program meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu merangkul kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut, bersama penyokong pada 12 September ini.
JDT menerusi hantaran dalam laman Facebook Johor Southern Tigers menyatakan, pada program itu penyokong Harimau Selatan akan disajikan dengan pertunjukan bunga api dan ‘in-car viewing party’.
“Sambutan tersebut seperti persembahan piala, pertunjukan khas dan bunga api akan bermula selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur,” menurut hantaran itu hari ini.
Hantaran itu turut menyatakan JDT pada masa ini sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kebangsaan, untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai program itu.
“SOP berkenaan termasuk mengenai kemasukan para penyokong ke tempat letak kereta dan susun atur acara itu. Nantikan pengumuman selanjutnya,” seperti dinyatakan dalam hantaran Johor Southern Tigers. – Bernama