ISKANDAR PUTERI, 22 DIS – Johor Darul Takzim (JDT) hari ini mengumumkan Muhammad Danial Amier Norhisham, sebagai pemain tengah baharu kelab berkenaan bagi memperkuatkan cabaran skuad Harimau Selatan, dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur berumur 23 tahun itu, menandatangani kontrak selama dua tahun bersama JDT dan merupakan produk jangka panjang kelab bola sepak tersebut.
Pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT berkata, baginda sangat gembira dan berbesar hati mempunyai pemain berbakat seperti Danial Amier.
“Danial Amier merupakan pemain yang bukan sahaja berbakat, malah berani menyahut cabaran untuk berada di JDT. Apa yang saya kagum dengan Danial Amier adalah semangatnya yang kuat. Bagi saya dia buat keputusan sangat tepat untuk berada di JDT,” kata Tunku Ismail.
Sementara itu, Danial Amier yang sebelum ini beraksi bersama Felda United mengakui terkejut, apabila Tunku Ismail berminat mendapatkan khidmatnya pada awal musim ini, namun atas beberapa faktor, penghijrahannya ke JDT hanya dapat dilaksanakan pada musim depan.
“Ia satu pengiktirafan daripada TMJ dan tidak semua pemain mendapatnya. Ia memberi motivasi buat saya untuk meningkatkan tahap permainan. Saya perlu bekerja keras kerana untuk berada dalam skuad utama bukanlah tugas mudah. Lebih-lebih lagi bagi posisi tengah, JDT dibarisi ramai pemain hebat.” – Bernama






























