ISKANDAR PUTERI, 16 OKT – Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang trofi kejuaraan Liga Super 2022 kali kesembilan dalam sambutan gilang-gemilang di hadapan kira-kira 35,000 penyokong yang memenuhi Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Stadium keramat Skuad Harimau Selatan diterangi percikan bunga api dan persembahan cahaya laser berwarna-warni selain persembahan artis antarabangsa Jason Derulo.
Detik memukau itu berlaku sejurus Kapten Pasukan JDT, Mohd Farizal Marlias bersama Ketua Jurulatih, Hector Bidoglio menjulang piala berprestij berkenaan sebelum disusuli sorakan rakan sepasukan.
Momen bersejarah itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Turut berkenan menyaksikan aksi terakhir Liga Super menentang Sabah dan sambutan malam ini ialah pemilik JDT Tunku mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi dominan musim ini dengan mengumpul 56 mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 22 perlawanan. – Bernama
