JDT kecewa aksi pembukaan

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan langkah kiri, selepas tewas 0-1 kepada Nagoya Grampus pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, malam ini.

Pemain tengah Hiroyuki Abe muncul wira Nagoya Grampus, apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-60, sekali gus memberi permulaan sempurna kepada pasukan yang kini menduduki tempat kedua dalam liga utama Jepun.

Bagaimanapun, JDT setidak-tidaknya mampu mencatat keputusan seri, namun jaringan penyerang import Bergson Da Silva menerusi tandukan pada penghujung perlawanan tidak dikira, selepas pemain kelahiran Brazil itu terlebih dahulu mengasari pertahanan lawan.

Keputusan pengadil perlawanan Mohammed Abdulla Hassan memberikan sepakan percuma kepada pasukan lawan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan itu, ternyata menghampakan Bergson dan JDT yang berusaha keras dalam memburu gol penyamaan.

Pada aksi tersebut, 45 minit pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berhati-hati dengan masing-masing sesekali melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan, namun gagal memecah kebuntuan. – Bernama