JDT, Melaka United pasukan pilihan final Piala Malaysia

KOTA BHARU, 25 NOV – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC menjadi pilihan legenda penyerang prolifik negara era 90-an, Hashim Mustapha untuk layak ke perlawanan akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Bekas pemain Kebangsaan itu berkata pilihan tersebut berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan kedua-dua pasukan berkenaan dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super tahun ini.

“Sebagaimana kita sedia maklum, JDT ketika ini menjadi pasukan paling kuat dalam arena bola sepak negara kerana memiliki beberapa pemain kebangsaan selain menampilkan taktikal moden menarik yang diterapkan oleh jurulatih mereka.

“Melaka United pula adalah salah satu pasukan baharu yang mampu memberikan saingan kepada pasukan lain kerana prestasi semasa yang ditampilkan oleh pemain-pemain ini semakin meningkat dan menunjukkan aksi yang sangat berkualiti,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

“Perlawanan malam esok (26 Nov) sudah tentu memberikan kelebihan kepada tuan rumah iaitu JDT dan Melaka United kerana setidak-tidaknya mereka hanya memerlukan keputusan seri.

“Namun, agak mustahil kedua-dua pasukan itu turun dengan taktikal bertahan sepanjang 90 minit perlawanan kerana jika Terengganu dan Kuala Lumpur dapat menjaringkan gol, peluang akan menjadi seimbang,” katanya. – Bernama