Jelajah eratkan silaturahim

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Demi mengeratkan lagi semangat persaudaraan antara dua buah negara, kumpulan pemilik kenderaan BMW iaitu Kumpulan Generasi Bimmer (BGT) dari Negara Brunei Darussalam dan Indonesia telah mengadakan perhimpunan kereta BMW di kawasan letak kereta berhadapan dengan Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja, baru-baru ini.

Acara yang telah menghimpunkan sebanyak 71 kenderaan BMW itu turut disertai oleh empat buah kenderaan BMW daripada rombongan warga Kalimantan, Indonesia.

Rombongan berkenaan berada di negara ini sebagai sebahagian daripada aktiviti jelajah silaturahim bersempena Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-74 ke negara ini sejauh 5,100 kilometer dengan merentasi sempadan Sarawak, Malaysia. Ketibaan rombongan berkenaan telah dialu-alukan oleh Ketua BGT, Awang Mohd Saffri bin Haji Sinin.

Acara perhimpunan tersebut turut diserikan dengan penyampaian sijil persahabatan antara kedua-dua belah pihak yang mana ia secara tidak langsung dapat menyatupadukan lagi hubungan silaturahim sesama ahli kumpulan BGT, di samping bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pendapat khususnya dalam penggunaan kenderaan BMW, selain merancang bagi aktiviti-aktiviti pada masa hadapan.