SINGAPURA, 6 OKT – Jelajah Golf Asia disambung semula pada bulan November ini setelah lama terhenti akibat koronavirus, dengan empat kejohanan dirancang akan berlangsung di Thailand dan Singapura dalam beberapa bulan akan datang, kata penganjur hari ini.
Jelajah itu digantung berikutan Terbuka Malaysia pada bulan Mac tahun lalu diganggu oleh penularan wabak COVID-19 mendorong perintah berkurung dan penutupan sempadan antarabangsa di seluruh negara.
Penyambungan semula Jelajah Golf Asia bermula di pulau percutian Thailand di Phuket dengan Kejuaraan Blue Canyon bernilai AS$1 juta bermula 25 hingga 28 November, diikuti oleh Kejuaraan Laguna Phuket dari 2 hingga 5 Disember nanti.
Pelancong yang telah menerima vaksin lengkap boleh mengunjungi Phuket tanpa perlu menjalani kuarantin.
Akan ada dua lagi kejohanan di Singapura pada bulan Januari nanti yang diadakan selama beberapa minggu berturut-turut, kata Jelajah itu, tanpa memberikan perincian lebih lanjut.
Semua kejohanan akan dimainkan dalam ‘gelembung sukan’ dan pemain perlu diberi vaksin sepenuhnya untuk menyertai kejohanan.
“Menyambung semula Jelajah Golf Asia adalah mencabar kerana jangkauan kami di banyak negara dan setiap protokol yang berkaitan dengan COVID-19,” kata pesuruhjaya dan CEO Jelajah Golf Asia, Cho Minn Thant.
“Kami yakin dapat menghabiskan musim kami walaupun masih ada beberapa cabaran yang ditimbulkan oleh wabak itu.”
Penyambungan semula akan membolehkan jelajah itu melengkapkan Order of Merit dan menobatkan juara. Bintang Thailand, Jazz Janewattananond telah memenangi gelaran pada 2019.
Percubaan sebelumnya untuk memulakan semula Jelajah Asia terjejas oleh wabak virus baharu di rantau itu, yang jauh lebih lambat daripada di AS dan Eropah. – AFP