Jelajah seluruh negara promosi pelancongan domestik

BAU, 3 JULAI – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bersama pasukan dari kementerian (MOTAC) akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengenal pasti produk pelancongan setempat yang boleh dipromosi bagi memulih semula pelancongan domestik yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Beliau berkata bermula di kawasan Parlimen Batang Sadong dan hari ini di daerah Bau, pasukan MOTAC akan mempromosi tempat-tempat makan, tempat penginapan, adat budaya suku kaum dan tempat yang menarik untuk dilawati.

“Semua ini adalah produk pelancongan domestik yang dapat kita ketengahkan bagi memulih semula pelancongan domestik, sekali gus memulih ekonomi rakyat, negeri dan negara,” katanya kepada pemberita semasa melawat Libiki Bamboo Resort di Kampung Bijuray Mongag di sini hari ini.

Katanya, selepas tiga bulan aktiviti ekonomi negara termasuk sektor pelancongan terhenti berikutan pandemik COVID-19, kini orang ramai sudah kembali menjalankan aktiviti harian masing-masing.

Beliau berkata, selepas sektor pelancongan dibenarkan kembali beroperasi, dan dalam tempoh dua minggu ini, hotel sudah mula mendapat tempahan, malah ada yang tidak dapat menerima tempahan lagi kerana sudah penuh.

“Ini petanda yang baik dan rakyat sudah mula yakin untuk keluar dengan keadaan negeri dan negara kita yang selamat, namun kita tidak boleh membuka sepenuhnya sektor ekonomi buat masa ini, dan yang penting kita harus terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi meyakinkan orang luar bahawa tempat kita adalah selamat,” katanya. – Bernama