Jelapang padi Kota Belud hasilkan 60 peratus padi Sabah

KOTA BELUD, 9 JULAI – Projek jelapang padi di daerah ini menghasilkan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan hasil padi Sabah, justeru masih terlalu awal bagi mana-mana pihak untuk mengatakan projek itu gagal, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Katanya, projek itu yang diuruskan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadi (IADA) Kota Belud masih dalam proses pembangunan dan kini menunjukkan beberapa kejayaan awal termasuk penanaman padi dua kali setahun hasil penambahbaikan sistem pengairan.

“Tentu sekali masih banyak perlu dilakukan. Beberapa tambahan projek baharu sekarang ini sedang diolah oleh kementerian dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Kami menjangkakan selepas semua pembangunan dirancang dilaksanakan, kita akan melihat lebih banyak kejayaan besar IADA Kota Belud pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Beluran pada 7 Mei lepas yang menyifatkan projek jelapang padi di Kota Belud gagal dan tidak mendatangkan hasil seperti diharapkan meskipun telah menelan belanja hampir RM400 juta. – Bernama

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mendengar penerangan mengenai Jelapang Padi Kota Belud ketika melakukan lawatan ke kawasan tersebut, kelmarin. – Bernama