Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Jemaah haji selamat tiba di tanah air

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Seramai 206 jemaah haji penerbangan kedua dan terakhir selamat tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), pada jam 10:03 pagi, hari ini, selepas hampir sebulan berada di tanah suci Mekah dan Madinah bagi menunaikan Rukun Islam ke-5.

    Hadir di LTAB bagi mengalu-alukan para jemaah haji ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku pengerusi Lembaga Pengarah Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz Al-Muhanna; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan isteri; serta Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman.

    Kepulangan jemaah haji daripada penerbangan kedua termasuk tujuh pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan) dan seramai 195 orang jemaah haji bersama empat pegawai haji dari DHSB.

    Kelmarin, seramai 248 orang jemaah haji penerbangan pertama selamat mendarat di LTAB pada pukul 8:40 pagi.

    Mereka terdiri daripada 157 jemaah haji, tujuh pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan), empat pegawai haji dari DHSB, 67 jemaah haji dari Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd;dan 12 jemaah haji bersama seorang pegawai haji dari Syarikat Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd.

    Kepulangan jemaah haji tahun ini disambut dengan secara sederhana yang mana hanya seorang daripada ahli terdekat sahaja yang dibenarkan untuk hadir di lapangan terbang.
    Manakala para jemaah haji juga diharuskan untuk menjalani pengasingan diri di rumah selama tiga hari.

    Ini adalah antara SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan khas untuk jemaah haji negara.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri di JPM ketika menyambut kepulangan jemaah haji di LTAB.
    Kepulangan jemaah haji penerbangan kedua, kelmarin. – Gambar-gambar oleh Bahyiah Bakir

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...