Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Masin dengan kerjasama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) melalui Unit Tabung Simpanan Darah telah menganjurkan kempen derma darah kali ketujuh di masjid tersebut kelmarin.
Menurut Imam Masjid Kampung Masin, Haji Muhammad Zainul bin Haji Mohd Hassan, kempen kali ke-7 itu bertujuan memudahkan orang terutama ahli jawatankuasa dan jemaah masjid serta penduduk kampung sekitarnya menyertai kempen derma darah bagi mereka yang memerlukan.
Ia merupakan antara tanggungjawab kebajikan dan salah satu aktiviti dalam kalendar tahunan masjid tersebut, tambahnya.
Kempen itu menyaksikan seramai 10 orang layak menderma dan menerima sagu hati.
Orang ramai yang ingin menderma darah menjalani pemeriksaan terlebih dahulu termasuk bacaan tekanan darah dan kandungan darah mencukupi, menurut salah seorang pegawai Unit Tabung Simpanan Darah RIPAS.
Selain itu, penderma juga memperoleh manfaat seperti sebanyak 500-600 kalori akan dibakar setiap kali menderma darah, manakala bagi setiap liter darah dkumpulkan, tiga nyawa dapat diselamatkan dan tubuh penderma juga akan lebih sihat dan cergas, katanya.
