Jemaah MRSB terus belajar Al-Quran dalam talian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Dalam usaha memastikan jemaah dan penduduk kampung terus mengikuti aktiviti masjid terutamanya mengaji Al-Quran, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar memanfaatkan platform dalam talian seperti Zoom untuk mengadakan pelbagai program.

Baru-baru ini, jawatankuasa takmir masjid berkenaan telah menggunakan platform berkenaan untuk mengadakan Program #ZoomTajuidQuran yang diperkenalkan pada minggu pertama penutupan sementara masjid.

Beberapa aktiviti lain juga telah dilaksanakan antaranya #ZoomNgajiQuran, #ZoomMembacaKahfi, #ZoomTarannum dan #ZoomTahsinQuran.

Pengendalian program berkenaan antara lain bertujuan supaya pembelajaran dan aktiviti masjid dapat dijalankan walaupun ia dilaksanakan dalam keadaan yang terhad sekali gus untuk mencapai hasrat masjid berkenaan.

Menurut penyelia takmir masjid berkenaan, #ZoomTajuidQuran diadakan bermula pukul 5:45 pagi setiap Ahad dengan bimbingan Haji Hasbi bin Awang Hamiddun bagi memastikan pembacaan jemaah betul.

Antara jemaah yang menyertai Program #ZoomTajuidQuran yang dianjurkan oleh jawatankuasa takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah. – Gambar serahan MRSB

Kaedah yang digunakan sangat mudah dan senang untuk diikuti oleh jemaah manakala isi pengajaran menumpukan kepada pengenalan asas bacaan dan asas tanda-tanda hukum tajwid secara ringkas dan mudah difahami. Ini dengan mengelakkan jemaah daripada menghafal nama hukum tajwid yang kompleks.

Dengan inisiatif yang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi mutu bacaan jemaah dengan pendekatan kaedah mengaji yang mudah dan ringkas.

Pihak jawatankuasa takmir masjid berharap lebih ramai jemaah dan penduduk kampung akan mengikuti #ZoomTajuidQuran dan tidak melepaskan peluang menuntut ilmu Al-Quran secara dalam talian.

Selain itu, ia jua merupakan salah satu inisiatif bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berhasrat supaya rakyat Baginda pandai membaca Al-Quran dan berusaha menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.