Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Jemaah tadarus subuh Al-Quran Masjid Hassanal Bolkiah telah menerima sumbangan wakaf Al-Quran daripada Masjid Besar Darul Ma’mur Daerah Lawas, Sarawak.
Sumbangan wakaf tersebut telah diserahkan oleh Haji Lamit bin Tengah kepada Imam Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, Awang Abdul Salam bin Haji Salim yang seterusnya menyerahkan kepada para jemaah tadarus subuh pada majlis yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, awal pagi ini.
“Sumbangan wakaf Al-Quran ini merupakan satu cara menyemarakkan syiar Islam selain berkongsi manfaat sesama umat Islam. Ia juga sebagai tanda bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara jemaah kedua-dua masjid berkenaan,” jelas Pengerusi Masjid Besar Darul Ma’mur, Awang Othman bin Adol.
Katanya, di samping meraih pahala yang berlipat ganda, amalan berwakaf ini juga akan membantu memperkukuhkan lagi perpaduan dan meningkatkan kemesraan semua jemaah.
