LVIV, UKRAINE – Hanya beberapa hari lalu, Artem Gorelov berusaha untuk bertahan di salah satu kawasan paling teruk di Ukraine, pinggir bandar Kyiv yang diduduki tentera Rusia, Bucha. Kini dia berdiri dalam sebuah bilik sunyi dalam cahaya terang waktu petang, membuat topi jahitan tangan untuk jenama fesyen tempatan yang dipakai oleh Madonna dan wanita pertama Ukraine.
Gorelov telah menyertai penghijrahan besar-besaran Ukraine ke barat bandar Lviv, berhampiran Poland. Dan, 100 pekerja syarikat tempat dia bekerja tiba bersamanya. Mencari tempat selamat namun bertekad tidak mahu meninggalkan Ukraine, jenama Ruslan Baginskiy adalah antara salah satu perniagaan yang berpindah di tengah peperangan.
Dua bulan lalu, wanita pertama Olena Zelenska berada dalam bilik pameran pembuat topi itu di Kyiv. Sekarang syarikat tersebut beroperasi dalam dua bilik darjah yang dipinjam di sebuah sekolah, pekerjanya dengan teliti menggabungkan fabrik bersama berdekatan mesin jahit pelajar yang berusia beberapa dekad.
Ia adalah proses yang lebih perlahan, tetapi pelanggan seperti Neiman Marcus dan Bloomingdale telah memberikan sokongan, kata pemilik bersama Victoria Semerei, 29.
Dia adalah antara warga Ukraine yang tidak percaya Rusia akan melancarkan serangan. Dia masih tidak melupakan insiden berada di Itali pada hari sebelum serangan dan memberitahu rakan-rakan bahawa perang tidak mungkin berlaku.
Dua jam selepas kapal terbangnya mendarat di Kyiv, pengebomanan bermula.
Pengeboman harian mendorong tiga pengasas bersama syarikat mengambil keputusan untuk melarikan diri. Sementara beberapa pekerja berpindah ke kawasan lain Ukraine atau ke negara lain, kira-kira satu pertiga daripada mereka memindah peralatan asas syarikat ke Lviv dua minggu lalu.
“Kehidupan normal akan kembali seperti biasa pada satu hari nanti,” kata Semerei. “Kami perlu bersedia.”
Syarikat itu melancarkan usaha masa perang negara yang telah membelenggu Ukraine, menyumbang wang kepada tentera dan menukar berita Instagram syarikat daripada promosi jenama kepada pengemaskinian peperangan.
“Ia bukan masa untuk berasa segan. Tidak lagi dalam masa seperti ini,” kata pengasas dan pengarah kreatif Ruslan Baginskiy. Syarikat sebelum ini mempunyai pelanggan Rusia, tetapi berhenti lama sebelum serangan berlaku ketuka ketegangan serantau meningkat. “Tidak mungkin untuk mewujudkan sebarang hubungan lagi,” ujar beliau. “Segala-galanya adalah mengenai politik sekarang.”
Sebagai sebahagian daripada semangat tersebut, Semerei menolak idea untuk memindah syarikat ke lokasi yang lebih selamat di luar Ukraine. “Kami mempunyai pasukan kami di sini, pasukan yang amat kami hargai,” katanya. “Berbakat, kesemua mereka.”
Kempen jenama lampau untuk syarikat telah berkait rapat dengan Ukraine, digambar di tempat-tempat seperti Kherson, kini di bawah pendudukan Rusia. Bandar yang dianggap tempat tinggal pekerja pembuat topi itu telah musnah dibom.
“Begitu ramai tentera Rusia,” kata Gorelov, yang melarikan diri dari Bucha berdekatan ibu negara. “Malah adalah mustahil untuk mempertahankan diri.”
Ketibaannya di Lviv, di mana kehidupan diteruskan dan kedai moden masih dibuka, kelihatan di luar alam nyata. Dia mengambil beberapa hari untuk menyesuaikan diri. Sekarang ‘saya rasa relaks melakukannya,” katanya, topi baharu yang sedang dalam pembuatan terletak di atas meja di depannya.
Di satu lagi sudut bengkel sementara itu, Svetlana Podgainova bimbang mengenai keluarganya di wilayah yang dikawal pemisah di Luhansk di timur Ukraine, di mana pemisah pro-Moscow telah bertempur untuk menguasainya selama hampir lapan tahun. Keadaan telah pun sukar untuk menziarahi keluarganya walaupun sebelum serangan. Kini adiknya tidak dapat meninggalkan rantau tersebut.
Dia rasa sungguh dahsyat melihat rakan sekerjanya dari kawasan lain Ukraine terbabit dalam peperangan dan berharap kehidupan normal akan kembali untuk mereka semua. “Saya ingin kembali semula untuk bekerja,” katanya. Fikirannya sentiasa memikirkan kerja dan menjadikannya rasa kurang sendirian di sebuah bandar baharu, dan dia menganggap rakan sekerjanya sebagai ‘sebuah keluarga besar.’
Pekerja pembuat topi itu adalah antara kira-kira 200,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kini menetap di Lviv, dengan pengasas bersama kini berkongsi sebuah apartmen dengan beberapa orang lain.
Memandangkan cabaran yang dihadapi, tahun ini mungkin akan menjadi yang paling buruk dalam sejarah enam tahun syarikat, menurut Semerei. Namun ‘ia adalah sesuatu yang akan kami harungi dan mudah-mudahan kami semua akan menjadi lebih tabah.’ – AP