Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Pejabat Promosi dan Pengurusan Acara, di bawah Pejabat Korporat dan Pentadbiran, Universiti Brunei Darussalam (UBD), semalam telah melancarkan jenama hadiah dan cenderamata pertamanya dinamakan Treasure Cove.
Pelancaran pada majlis yang berlangsung di Perpustakaan Perniagaan UBD itu disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz. Turut hadir pada majlis itu ialah rakan-rakan korporat UBD, yang terdiri dari syarikat-syarikat dan organisasi terkenal yang telah memberikan sokongan tidak ternilai atas bimbingan dan peluang pekerjaan kepada pelajar universiti itu.
Treasure Cove merupakan jenama UBD yang telah ditubuhkan untuk menyokong bakat kreatif, seni dan keusahawanan pelajar serta alumni mereka.
Majoriti produk Treasure Cove pada asalnya dicipta sebagai usaha yang diilhamkan oleh graduan UBD, yang mempamerkan bakat dan kebolehan mereka dalam industri kreatif.

Ia merupakan bukti dan komitmen UBD untuk terus memberi sokongan dan galakan kepada pengusaha-pengusaha Brunei.
Dalam pada itu, acara berkenaan juga merupakan peluang untuk kakitangan dan pelajar UBD berangkaian dengan syarikat berprestij dan organisasi di Brunei.
Tujuannya adalah untuk memupuk hubungan baik dalam memajukan lagi bidang-bidang berkepentingan dan berfaedah yang akan memberi kelebihan kepada pekerjaan dan ekonomi.
Pada majlis itu, tetamu kehormat dan para jemputan kemudiannya menyaksikan lebih dekat jenama Treasure Cove yang mula dijual di perpustakaan berkenaan.