Jenayah kebencian, 4 lelaki kulit hitam didakwa

CHICAGO, 6 Jan Empat lelaki kulit hitam semalam didakwa atas tuduhan jenayah kebencian membabitkan seorang lelaki kurang upaya berkulit putih.

Video kejadian membabitkan mangsa berusia 18 tahun yang dipukul, dihina dengan kata-kata kesat, diugut dengan pisau dan dipaksa minum air tandas itu turut disiarkan di Facebook.

Jenayah itu berlangsung selama beberapa jam, sebelum pihak polis menemui mangsa yang keliru berjalan seorang diri dalam cuaca sejuk dengan hanya berseluar pendek dan sandal.

Dalam rakaman video terbabit, suspek yang kini menjalani hukuman penjara melontarkan kata-kata kesat berbaur perkauman dan penghinaan terhadap orang kulit putih serta bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Jurucakap polis, Anthony Guglielmi, berkata pasukan penyiasat pada awalnya mengenepikan tuduhan berkenaan kerana mangsa berusia 18 tahun itu adalah seorang berkeperluan khas dan bukannya kerana beliau berkulit putih.

Bagaimanapun, pertuduhan kemudiannya berubah selepas semua suspek didapati menggunakan kata-kata kesat berbaur perkauman, selain merujuk kepada keadaan kurang upaya mangsa itu.

Polis berkata, difahamkan, mangsa adalah rakan sekolah penyerangnya dan dipercayai mengikut mereka secara sukarela.

“Mangsa masih trauma dengan kejadian itu dan ketika ini amat sukar untuk berkomunikasi atau menyoal siasatnya,” kata Komander Polis, Kevin Duffin. – AP