Jenayah kekerasan di S’wak meningkat

KUCHING, 18 DIS – Jenayah kekerasan di Sarawak menunjukkan peningkatan daripada 767 kes pada 2018 kepada 836 kes setakat 10 Dis tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata terdapat peningkatan 69 kes iaitu sebanyak sembilan peratus.

“Kes bunuh juga meningkat daripada 17 kes pada 2018 kepada 24 kes pada tahun ini namun daripada 24 kes itu, 21 daripadanya berjaya diselesaikan.

“Begitu juga dengan kes rogol yang turut berlaku peningkatan daripada 127 kes pada tahun lepas kepada 143 kes pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan dan Pelancaran Op Selamat sempena Hari Krismas di Dewan Komuniti Siburan, di sini, hari ini. – Bernama