Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Jenayah, pelanggaran etika dalam PPDB perlu dibanteras

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Para pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diingatkan supaya tidak melakukan penganiayaan dan melanggar etika kerja.

    Mereka juga diingatkan agar tidak menggunakan kuasa untuk menganiaya anggota-anggota berpangkat rendah.

    Mereka sama sekali tidak berhak untuk berbuat demikian.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut dalam titah semasa keberangkatan ke Ibu Pejabat PPDB, di Gadong, hari ini.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah ketika berangkat ke Ibu Pejabat PPDB, kelmarin. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.- Gambar oleh Infofoto
    Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Ibu Pejabat PPDB di Gadong.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan menandatangani lembaran keberangkatan.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa keberangkatan ke Ibu Pejabat PPDB di Gadong, kelmarin.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama pegawai-pegawai kanan PPDB. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menghadiri majlis santap di Mes Pegawai Polis.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menandatangani lembaran keberangkatan.
    Antara anggota PPDB yang hadir semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Ibu Pejabat PPDB, kelmarin. – Gambar oleh Rokiah Mahmud

    Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Timbalan-timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos, dan Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.

    Baginda turut bertitah, tidak ada pegawai dan anggota PPDB above the law.

    Sebagai pemimpin, pegawai-pegawai atasan bukannya untuk melindungi mereka yang melakukan kesalahan atau bersekongkol dengan mereka untuk mencari sumber yang menyalurkan maklumat kesalahan mereka ini.

    “Selain daripada melakukan penganiayaan, ada juga yang melanggar etika kerja seperti meninggalkan tempat bertugas sebelum acara-acara selesai dan balik ke pejabat untuk berehat. Malah lebih keji lagi, ada juga penyandang pangkat tinggi yang melakukan gangguan seksual terhadap rakan sekerja,” tegas Baginda.

    “Beta mahu perkara-perkara ini jangan dipandang ringan oleh ketua. Perkara ini perlu dibanteras kerana tidak ada maknanya jika nama sahaja pegawai keselamatan tetapi perbuatan tidak membawa selamat.”

    Selain itu, Baginda turut menekankan mengenai perlunya PPDB memiliki peta korporat perancangan strategik yang diharapkan untuk mengubati dukacita negara iaitu bersabit di dalam pasukan polis masih terdapat banyak jenayah yang dilakukan oleh warga pasukan sendiri.

    “Beta melihat peta korporat perancangan strategik tersebut akan dapat memperbaiki semua aspek kepimpinan, pengurusan, pentadbiran, latihan dan keupayaan serta logistik PPDB.

    “Inilah yang sangat diharapkan untuk mengubati dukacita kita iaitu bersabit di dalam pasukan polis masih terdapat banyak jenayah yang dilakukan oleh warga pasukan sendiri seperti rasuah, judi, pecah amanah termasuk bersekongkol dengan kumpulan-kumpulan penjenayah seperti membocorkan jadual sekatan jalan raya dan operasi penggeledahan tempat yang disyaki menjadi markas kegiatan jenayah sehingga dengan persekongkolan seperti itu menjadikan sukar bagi pihak penguat kuasa untuk mendapatkan bahan bukti.

    Baginda menegaskan perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana jika
    dibiarkan, ia akan menjejaskan martabat dan kredibiliti PPDB.

    “Tetapi soalnya, siapakah yang bertanggungjawab untuk membaiki kepincangan ini?

    “Jawabnya ia mestilah dilakukan dari dalam jua kerana PPDB adalah ibarat sebuah keluarga.

    “Jika terdapat sebarang anggota yang bermasalah, bukankah kepala atau ketua keluarga lebih layak menanganinya.

    “Dalam makna, ketua atau pegawai atasan jua yang lebih utama untuk membuat perhitungan segera. Tetapi ini pun jika ketua atau pegawai atasan itu bukan pengamal kronisme dan nepotisme maka barulah dapat diharapkan penyelesaian yang baik dan adil.

    “PPDB tidak seharusnya membelakangi prosedur operasi standard (SOP) kerana jika sebarang jenayah atau pelanggaran keselamatan tidak ditangani mengikut SOP maka natijahnya mungkin mengecewakan.”

    Baginda turut menyentuh isu projek-projek PPDB yang tidak dimanfaatkan dan aspek perancangan sumber tenaga manusia yang mesti dikemas kini. Ini selaras dengan usia PPDB yang mencecah lebih 100 tahun.

    “PPDB telah pun mencapai usianya ke-100 tahun pada 1 Januari yang lalu. Di kesempatan ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan anggota PPDB baik yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, atas segala khidmat bakti mereka yang telah dicurahkan.

    “Mengimbas balik tempoh 100 tahun penubuhan PPDB, pelbagai perkembangan dan peru-bahan telah dialami oleh pasukan termasuk pelbagai ujian atau rintangan, namun semua ini tidak boleh mematahkan semangat pasukan.

    “PPDB mesti cekal dan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa jua cabaran di samping terus menjaga diri untuk sentiasa bersih daripada sebarang gejala yang boleh melemahkannya,” tegas Baginda.

    Pada keberangkatan ke Ibu Pejabat PPDB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama pegawai-pegawai kanan PPDB.

    Bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Penolong Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Brunei Muara, Timbalan Penguasa Polis, Muhammad Amirul bin Haji Metussin.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri keberangkatan dengan berkenan berangkat menghadiri majlis santap di Mes Pegawai Polis, Gadong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...