Jenazah anggota TLDM maut, selamat dikebumikan di Semporna

SEMPORNA, 25 JUN – Jenazah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Allahyarham Laskar Kanan PAP, Maslim Abdul Rahim, 35, selamat dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan termasuk kawalan kehormatan jenazah, di tanah persendirian keluarga di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan di sini, hari ini.

Jenazah allahyarham selesai dikebumikan pada 11 pagi, dan sebelum itu urusan solat jenazah dan bacaan tahlil diadakan di rumah keluarga isterinya.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga, sepanjang proses pengebumian berlangsung.

Hadir memberi penghormatan terakhir, Panglima Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali dan Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Kepten Ahmad Nazree Abu Hassan.

Maslim dari Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan antara tiga mangsa nahas dalam kemalangan jalan raya Ranau-Tamparuli yang berlaku pukul 1:03 tengah hari, Selasa lepas. – Bernama

Balu Allahyarham Laskar Kanan PAP Maslim Abd Halim, Nurfaizah Mohd Pagal tidak dapat menahan kesedihan ketika merenung pusara suaminya yang selamat dikebumikan di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan, kelmarin. – Bernama