Jenazah pelakon veteran zulkifli zain selamat dikebumikan

Jenazah pelakon veteran Datuk Zulkifli Zain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, kelmarin.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Ukay Perdana sejurus tiba di tanah perkuburan itu pada kira-kira 12 tengah hari.

Selain keluarga, beberapa teman rapat dan rakan seni Allahyarham turut kelihatan di tanah perkuburan tersebut, antaranya  Eman Manan, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Rosyam Nor.

Zulkifli, 76, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ukay Perdana kira-kira 7:30 malam semalam akibat komplikasi pelbagai penyakit antaranya darah tinggi, kencing manis, jantung serta buah pinggang dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, memulakan karier sebagai pelakon melalui filem Jiwa Remaja pada 1975 dan berlakon dalam lebih 10  buah filem selain beratus-ratus drama sepanjang menceburi dunia seni hiburan.

Rakan artis Datuk Yusof Haslam turut hadir menyiram air mawar di pusara Allahyarham Datuk Zulkifli Zain di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana. Zulkifli, 76, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ukay Perdana kira-kira 7:30 malam semalam akibat komplikasi pelbagai penyakit. – Bernama

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Normala Omar dan lima anak iaitu Dr Norzizi, Norzaza, Norzazila, Norzazleen dan Muhammad Noor Zabaiq. Anak sulung perempuannya yang juga pensyarah, pelakon dan pengarah teater Dr Norzizi berkata beliau berada di samping bapanya itu semasa arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Memang rutin saya pergi ke rumahnya setiap hari Sabtu untuk bergilir menjaga papa. Selang setengah jam selepas baring di katil, adik saya masuk ke bilik (dan) nampak papa bernafas tercungap-cungap.

“Papa ‘pergi’ dengan tenang dan cepat, macam sukar nak percaya,” katanya, menambah antara permintaan terakhir arwah bapanya ialah agar beliau meneruskan pengajian dan bergelar profesor madya.

Sementara itu, pelakon Eman Manan ketika ditemui berkata Allahyarham merupakan seorang yang kuat semangat dan berprinsip dalam bidang kerjaya dan rumah tangga.  – Bernama