Jenazah penerima hati pertama di Malaysia selamat dikebumi

SUNGAI PETANI, 2 MAC – Jenazah penerima hati pertama di Malaysia Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, yang meninggal dunia pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah, Kampung Masjid Tikam Batu dekat sini pada 5:40 petang.

Terdahulu, jenazah Mohd Afiq yang meninggal dunia pada 5:30 pagi di Hospital Selayang akibat komplikasi hati, tiba di kediaman datuk dan neneknya di Tikam Batu pada 3:30 petang sebelum disolatkan di Masjid Al-Barakah.

Penderma hati Wan Mohd Hafizam Wan Ismail turut kelihatan mengiringi jenazah dari hospital itu dan membantu menguruskan pengebumian Allahyarham.

Bapa Mohd Afiq, Muhammad Zaini Derahim, 50, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu sempat membuka mata dan merenungnya kira-kira 10 minit pada 5.20 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“…dia buka mata sebab sebelum ini dia memang tak buka mata, dia buka mata kedua-dua belah, lepas dia tengok saya, dia tutup mata dan dah tak ada (meninggal dunia),” katanya kepada pemberita selepas solat jenazah anaknya itu selesai.

Muhammad Zaini berkata beliau sedikit terkilan kerana hajat anaknya untuk memberikan cenderahati kepada jururawat dan doktor yang pernah merawatnya di hospital tidak tercapai sedangkan Allahyarham sudah menempahnya sebanyak 35 unit.

“Sebelum ini, saya tidak tahu benda itu, bila dah dapat tahu perkara ini saya pun rasa sebak kerana hajat dia tak tercapai sebab dia dah bayar deposit RM100.

“Dia selalu keluar masuk hospital, jadi ada jururawat yang baik dengan dia, dia nak bagi macam penghargaan sebab tolong jaga dia.

“Tetapi insya-Allah, saya dah berhubung dengan pembuat cenderahati itu, saya akan ambil dan sambung laksanakan hajat dia,” katanya. – Bernama

Penderma hati, Wan Mohd Hafizam kelihatan sugul ketika pengebumian jenazah Mohd Afiq Ikmal di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Barakah,Tikam Batu, kelmarin. – Bernama