Jenazah pertama nahas pesawat tiba di Kanada

TRENTON, KANADA, 22 JAN – Jenazah pertama warga Kanada yang maut dalam kejadian pesawat penumpang Ukraine terhempas awal bulan ini, tiba di Kanada pada Selasa, lapor agensi berita Anadolu.

Atas permintaan keluarga, maklumat mangsa tidak didedahkan.

“Ada satu penghantaran pulang jenazah dibuat dan kami menghormati permintaan keluarga agar diberi ruang untuk tidak diganggu,” kata Menteri Luar Francois-Philippe Champagne.

Nahas pesawat itu mengorbankan seramai 176 orang, 57 daripadanya rakyat Kanada. Pesawat Ukraine itu dikatakan ditembak secara tidak sengaja sejurus berlepas dari lapangan terbang berhampiran Tehran, kira-kira dua minggu lalu.

Penghantaran pulang jenazah mangsa telah mencetuskan isu apabila Iran mengatakan sesiapa yang dilahirkan di Iran dianggap sebagai warga negara itu.

Tetapi Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata andai keluarga mangsa berkeras untuk membawa jenazahnya pulang, permintaan itu perlu dipatuhi.

“Menghormati permintaan keluarga tidak bersangkut-paut dengan persoalan kewarganegaraan, tetapi ia sejajar dengan amalan dan undang-undang antarabangsa serta prinsip dalam urusan pengebumian menurut Islam,” kata Trudeau.

Terdapat laporan mengatakan pegawai Iran telah menakut-nakutkan keluarga mangsa, kerajaan terpaksa bertindak apabila keluarga mangsa mengadu mengenai perkara itu, kata Champagne. – Bernama

Bunga diletakkan di samping buku-buku takziah sebelum acara di Universiti Carleton, untuk memberi penghormatan terakhir kepada pelajar PHD biologi, Fareed Arastech yang meninggal dunia dalam kemalangan Pesawat Ukraine di Tehran. – AP