JENDELA beri liputan internet lebih baik

KOTA KINABALU, 6 SEPT – Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), bakal memberikan liputan internet yang lebih baik buat rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri Sabah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, langkah itu adalah penting kerana soal akses internet semakin meningkat dengan anak muda, terutamanya mengunakan pelbagai

platform digital, selain situasi akibat COVID-19 yang menyebabkan penggunaan internet dalam kalangan rakyat meningkat.

“Ada yang fikir asalnya tahun depan mahu gunakan e-Dagang tetapi dengan COVID-19, sekarang pun sudah mula berjinak-jinak dan mahir, menggunakan platform itu.

“Kita juga sedang menilai semua pusat internet di Sabah di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dan agensi lain kita sudah ada persefahaman untuk mengabungkan pusat internet itu untuk bantu mereka, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia negeri Sabah, di sini hari ini. – Bernama

Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua jabatan di bawah
Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Sabah, kelmarin. – Bernama