Jeneral Sudan bubar kabinet

KHARTOUM, 25 OKT – Jeneral tertinggi Sudan mengumumkan darurat kecemasan dan membubarkan pihak berkuasa yang mengetuai peralihan demokratik negara hari ini selepas askar-askar menahan pemimpin awam dalam apa yang PBB kecam sebagai ‘rampasan kuasa’.

Pengumuman Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dalam siaran televisyen muncul selepas angkatan bersenjata menahan para pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab mengetuai peralihan kepada pemerintahan penuh awam, susulan penyingkiran autokrat Oma al-Bashir pada April 2019.

“Untuk memulihkan laluan revolusi, kami memutuskan untuk mengumumkan darurat kecemasan seluruh negara….membubarkan majlis kedaulatan peralihan, dan membubarkan kabinet,” kata Burhan, yang mengumumkan pembentukan kerajaan baharu.

Pertempuran meletus di bandar Khartoum selepas ucapannya, dengan kementerian penerangan mengatakan askar-askar telah ‘melepaskan tembakan peluru hidup ke atas para pembantah yang menolak rampasan kuasa di luar ibu pejabat tentera’.

Tiga pembantah terbunuh dan kira-kria 80 orang cedera ketika ‘pasukan majlis rampasan kuasa tentera’ melepaskan tembakan untuk meleraikan penunjuk perasaan ke atas tentera, menurut Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan.

“Pemerintahan awam adalah pilihan rakyat,” laung penunjuk perasaan, dengan para pembantah melambai bendera dan menggunakan tayar untuk mewujudkan halangan.

Keganasan itu sebahagian besarnya berpusat di luar ibu pejabat tentera di bandar itu, muncul beberapa jam selepas askar-askar menahan Perdana Menteri Abdalla Hamdok, menteri-menteri dalam kerajaannya dan anggota awam majlis pemerintahan Sudan, kata kementerian penerangan.

Mereka telah dibawa keluar selepas ‘enggan menyokong rampasan kuasa itu,” katanya dalam Facebook.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengecam pengambilalihan tentera itu dan menggesa para pemimpin dibebaskan. – AFP

Jeneral Abdel-Fattah Burhan ketika mengumumkan pembubaran Majlis Kedaulatan negara itu. – AP
Penunjuk perasaan Sudan semasa bantahan di bandar Khartoum pada 25 Oktober. – AFP