Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jeneral Thailand sokong dakwaan polis

    BANGKOK, 24 Jun – Tentera Thailand menyokong dakwaan yang dibuat oleh polis Narathiwat bahawa 41 butir bom yang dirampas di daerah Takbai beberapa hari lalu dihasilkan di negara jiran Malaysia dan diseludup ke negara ini.

    Menurut Komander Tentera Wilayah 4, Lt Jen Piyawat Nakwanich, bom buatan sendiri itu hendak digunakan untuk melancarkan serangan oleh militan selepas bulan Ramadan.

    “Hasil siasatan, kami mendapati bom itu diseludup dari Malaysia, tetapi kami perlu menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada ia diseludup dalam bentuk lengkap atau sebahagian dan kemudian dipasang semula di negara ini,” kagta beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

    Jen Piyawat, pegawai tertinggi tentera Thailand di selatan negara itu ditanya mengenai rampasan bom buatan sendiri di pusat pemeriksaan polis di Kampung Saring, Takbai tiga hari lalu. Seorang pemandu trak berusia 39 tahun ditahan.

    Turut dirampas daripada trak pikap itu ialah alat pemasa bagi bahan peledak dan beberapa peranti komunikasi, yang menurut pegawai Explosive, Ordnance and Disposal (EOD) di tempat kejadian, hendak digunakan untuk meletupkan bom itu, masing-masing seberat kira-kira 500 gram, dari jauh menggunakan alat kawalan.

    Piyawat, orang yang diamanahkan oleh Bangkok untuk menumpaskan pergolakan bersenjata di selatan Thailand mengulangi dakwaan yang dibuat oleh Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Manas Sikamat mengenai bom itu yang dihasilkan di Malaysia, ketika ditemui media tempatan, sehari selepas insiden tersebut.

    Menurut beliau, bom tersebut diseludup ke selatan Thailand melalui “laluan sempadan semula jadi” dngan kebanyakan membuat spekulasi bahawa penyeludup menggunakan Sungai Golok yang sempit, yang memisahkan kedua-dua negara, untuk membawa masuk bahan letupan itu.

    Sungai Golok yang sinonim dengan kegiatan penyeludupan juga bertindak sebagai sempadan semula jadi, dengan Bandar Sungai Golok di wilayah Narathiwat dan pekan Rantau Panjang di Kelantan menjadi batas sempadan antara kedua-dua negara.

    Penyiasat berkata , trak pikap itu yang membawa bom tersebut ialah dari Sungai Golok sebelum ia ditahan di Takbai, dalam perjalanan untuk menghantar bahan letupan itu kepada seorang individu tidak dikenali di Ranget, Narathiwat.

    Jeneral tentera itu juga berkata, pihak berkuasa telah meningkatkan usaha untuk memburu seorang suspek yang dikaitkan dengan rampasan bom buatan sendiri itu. Suspek sempat bolos dan dipercayai bersembunyi bersama rakan-rakannya.

    Walaupun pihak tentera telah merampas sejumlah besar bom buatan sendiri di Narathiwat, Piyawat terus yakin bahawa situasi bertambah baik di selatan Thailand.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda