Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jenis-jenis umpan untuk pancingan udang galah

    Oleh Raz AS

    Setelah Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dibukakan untuk orang ramai berulang alik ke Daerah Temburong tanpa perlu melintasi negara jiran, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk turun memancing udang galah di daerah yang sememangnya sinonim dengan spesies udang air tawar terbesar itu.

    Oleh itu tidak hairanlah daerah tersebut, saban hari, tidak putus-putus menerima kunjungan daripada pemancing-pemancing dari seluruh negara yang berhasrat untuk memancing udang galah, tidak kiralah untuk memancing dari tebing atau menggunakan perahu.

    Untuk memancing udang galah sebenarnya tidaklah begitu susah terutama daripada aspek pilihan umpan. Udang galah bukanlah spesies yang memilih umpan, sama ada umpan segar ataupun berbau, pasti ia akan dimakan oleh si udang galah.

    Walau bagaimanapun, kadang-kadang mengikut keadaan, satu-satu jenis umpan itu akan menerima sambutan yang lebih meriah berbanding umpan yang lain.

    Dengan demikian, pemancing tidak seharusnya hanya membawa satu jenis umpan kerana ditakuti meluangkan lebih banyak masa menjadi penonton rakan-rakan lain beraksi.

    Umpan udang merupakan salah satu umpan yang sering digunakan bagi memancing udang galah malah ia mudah diperolehi. – Agensi

    Di sini penulis akan berkongsi beberapa jenis umpan terbaik untuk memancing udang galah bagi pengetahuan bersama.

    Pertama sekali adalah umpan yang boleh dikatakan sebagai umpan tradisi dalam pancingan udang galah iaitu cacing tanah. Cacing tanah selalunya lebih cepat dijamah, dan mampu memikat pelbagai saiz udang galah daripada yang kecil sehinggalah yang bersaiz besar.

    Pastikan bekas menyimpan cacing diisikan dengan tanah yang cukup serta terlindung daripada pancaran matahari bagi menggelakkan cacing mati dan mudah buntu.

    Kedua, adalah umpan perumpun atau pumpun. Umpan perumpun atau pumpun tidak kurang hebatnya berbanding cacing tanah, namun ia juga memerlukan penjagaan rapi seperti juga cacing tanah.

    Ketiga, umpan hati ayam. Umpan hati ayam juga sememangnya dikenali sebagai umpan mujarab untuk memikat udang galah. Namun begitu kerana isinya yang lembut, umpan ini mudah hancur atau terlucut daripada mata kail. Sebaiknya jika menggunakan hati ayam, umpan janganlah dilontar terlalu kuat atau cukup dihulurkan ke bawah perahu sahaja.

    Keempat, jantung ayam. Jantung ayam mempunyai isi yang lebih kenyal berbanding hati ayam, oleh itu ia tidak mudah tanggal daripada mata kail jika dilontar dengan kuat.

    Kelima isi ikan, sama ada isi ikan yang dipotong kecil atau anak ikan seperti ikan gapi, ia mampu memikat udang galah bersaiz besar.

    Keenam, menggunakan umpan udang. Umpan udang merupakan umpan kegemaran digunakan oleh penulis sendiri. Ini hanyalah kerana ia lebih mudah diperoleh, tidak berbau kuat dan tidak meninggalkan kesan kotor pada tangan. Tidak kiralah sama ada ingin menggunakan udang siar, bangkutut, bubuk atau udang rostris, ia jarang mengecewakan.

    Sebenarnya mungkin lebih banyak lagi umpan yang boleh digunakan untuk memancing udang galah, tidak kurang juga umpan yang dibancuh dengan campuran bahan-bahan tertentu, namun penulis rasa cukuplah ini sahaja yang dikongsikan kerana seperti yang penulis katakan dalam beberapa keluaran sebelumnya, tiada umpan yang benar-benar mujarab, semuanya mengikut keadaan dan selera buruan kita pada satu-satu masa itu. Selamat mencuba.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda