Oleh Siti Nur Wasimah S.
Gambar oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Sebanyak 16 lot Projek Penanam Padi MPK Limau Manis di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Limau Manis di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, masih lagi belum dituai dan jika dibiarkan boleh menyebabkan kerugian mencecah kira-kira $51,000.
Ini disebabkan masalah ketiadaan mesin untuk menuai padi yang menyebabkan kerosakan kepada padi-padi tersebut dan ada beberapa peladang terpaksa menuai padi secara manual. Perkara ini telah disuarakan oleh salah seorang wakil peladang KKP Limau Manis yang tidak mahu dikenali ketika ditemui pihak Media Permata semasa tinjauan yang diadakan ke kawasan ladang mereka, petang tadi.
Menurut beliau, masa untuk menanam padi jenis beras Laila sememangnya memakan masa bermula dari membaja sehingga menuai iaitu 95 hari ke 105 hari.
Katanya, sebelum ini terdapat mesin yang telah disediakan tetapi belum wujud kaedah yang sistematik bagi penggunaan mesin tersebut mengikut giliran tempahan waktu menuai bagi setiap peladang.



Pada masa ini, sebuah mesin telah mengalami kerosakan dan dipindahkan kepada pihak tertentu untuk diperiksa dan diperbaiki.
Menurutnya lagi, para peladang di kawasan itu telah mengalami masalah mesin menuai dan mesin menanam serta permasalahan air sejak tahun 2013.
Beliau berharap agar perkara berkenaan akan dapat dipertimbangkan dan diberikan pemedulian daripada pihak-pihak berkenaan dalam sama-sama meningkatkan lagi sistem penanaman padi di negara ini dengan lebih efektif serta lancar dan agar jika terdapat masalah yang timbul akan disegerakan untuk diselesaikan agar padi-padi tidak melepasi waktunya untuk dituai.