Jep Sepahtu, Sari Yanti sambut kelahiran anak lelaki

Pelawak Jep Sepahtu menimang cahaya mata kedua selepas isterinya, pelakon Sari Yanti selamat melahirkan seorang anak damit lelaki kelmarin.

Jep atau nama sebenarnya Mohd Nazri Zainal Abidin, 35, berkongsi khabar gembira itu di Instagram pada Ahad.

“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar,” tulis Jep ringkas.

Menerusi perkongsian itu Jep turut meletakkan tanda pagar #anakabah #babyboy #662020.

Sementara itu, peminat dan beberapa orang rakan artis turut memberi ucapan tahniah kepada pasangan itu.

“Dah dapat sepasang. Telinga tu cerah masa depan tu,” ujar pelakon Sharifah Shahira.

“Alhamdulillah, tahniah Jep,” tulis Tomok yang juga baru menimang cahaya mata ketiga pada 4 Jun lalu.

“Alhamdulillah, tahniah syukur,” ujar Shuib Sepahtu.

Jep dan Sari mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2017.
Pasangan itu turut mempunyai seorang cahaya mata perempuan iaitu Dariya Inara yang berusia dua tahun.

Sari Yanti mempunyai dua cahaya mata lelaki iaitu Barr Al Aliy dan Baasit Al Haq menerusi perkahwinan terdahulu. – Agensi

Jep dan Sari yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 kini menyambut kelahiran anak kedua mereka. – Agensi