TOKYO, 2 OGOS – Jepun mengalami suhu paling panas pada Julai sejak rekod bermula 126 tahun lalu, menurut agensi cuaca, ketika gelombang haba melampau yang didorong oleh perubahan iklim melanda banyak kawasan dunia.
Suhu di negara itu adalah 2.16 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata, memecahkan rekod tahun lepas bagi Julai iaitu 1.91 darjah Celsius melebihi purata.
“Ia adalah yang tertinggi sejak statistik bermula pada 1898,” kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA) kelmarin, sambil menyatakan bahawa angka itu ‘jauh lebih tinggi’ di seluruh negara.
Daripada 153 pos pemantauan di seluruh Jepun, 62 memecah rekod suhu puratanya pada Julai.
Faktor-faktor penyumbang termasuk sistem tekanan tinggi di Pasifik dan ‘udara panas dari selatan’ yang menyelubungi kawasan utara kepulauan itu, kata JMA.
Sejak April, strok haba telah membunuh 59 orang di Jepun, menurut agensi pengurusan bencana.
Payung dan rantai leher tebal yang boleh disimpan dalam peti sejuk telah menjadi pemandangan biasa di sekitar Tokyo, di mana penghibur jalanan Jiro Kan, 56, memberitahu AFP dia terasa bahangnya.
“Selepas menghabiskan dua jam berdiri di sini, saya berpeluh sehingga saya boleh memerah semuanya dari baju saya. Saya basah kuyup,” kata Kan, berpakaian baju serba kuning.
“Orang yang biasa dengan jenis cuaca yang lebih kering seperti di Amerika Syarikat mendapati haba dan kelembapan di Jepun lebih sukar untuk dikendalikan,” katanya di kawasan tumpuan pelancong Asakusa.
Bulan lalu, Shizuoka di barat Tokyo menjadi wilayah Jepun pertama yang menyaksikan merkuri mencecah 40 Celsius tahun ini – jauh melepasi ambang 35 darjah yang dianggap ‘sangat panas’ oleh pihak berkuasa.
Gelombang haba menjadi semakin biasa di seluruh dunia, dengan pemantau iklim Kesatuan Eropah berkata pada Julai Bumi mengalami hari paling panas dalam sejarah yang direkodkan. – AFP