Jepun ambil pendekatan diplomasi berlembut dengan Korea Utara

TOKYO, 23 April – Jepun hari ini melonggarkan langkah memberikan ‘tekanan maksimum’ ke atas Korea Utara dari dasar luar negara, pendekatan yang tampaknya lebih lembut dari Tokyo sebagai kuasa utama yang terbabit dengan Pyongyang.

Dalam ‘Buku Biru Diplomatik’ tahun lalu, diterbitkan apabila ketegangan di semenanjung Korea semakin meningkat, Jepun berkata ia sedang menyelaras usaha-usaha bersama sekutunya untuk memberikan tekanan maksimum ke atas Korea Utara melalui semua kaedah yang ada.

Namun nada berkenaan digugurkan daripada edisi tahun ini, dirangka selepas diplomat “mengambil kira perkembangan terbaharu yang menyelubungi Korea Utara,”menurut ketua jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga.

“Terdapat perkembangan besar dalam situasi yang menyelubungi Korea Utara berdasarkan peristiwa yang berlaku seperti sidang kemuncak AS-Korea Utara pada Jun tahun lalu dan Februari,” kata Suga kepada wartawan.

Abe, dilihat sebagai tokoh dasar luar negara, juga telah melembutkan retorik beliau terhadap Korea Utara. Abe juga sering menawarkan untuk bertemu dengan pemimpin Kim Jong Un untuk berunding isu berusia berdekad-dekad lamanya tentang warga Jepun yang diculik oleh Utara.

“Jepun berusaha memulihkan hubungannya dengan Korea Utara dengan menyelesaikan isu yang belum diselesaikan seperti penculikan, isu nuklear dan peluru berpandu serta menyelesaikan era lampau,” kata Suga.

Tokyo telah menjadi salah satu kuasa besar yang paling angkuh mengenai Korea Utara dan telah menerima beberapa retorik paling keras daripada Pyongyang – serta peluru berpandu yang dilancarkan di wilayahnya.

Sehingga akhir tahun 2017, Korea Utara berkali-kali menguji peluru berpandu yang terbang melepasi Jepun, sekali gus mencetuskan amaran yang dilaungkan menerusi pembesar suara dan mencetuskan gesaan yang meminta dasar keras dikenakan ke atas Pyongyang.

Bagaimanapun, Jepun kini mendapati dirinya bergelut untuk mengekalkan dirinya secara relevan dalam isu Korea Utara tatkala Kim mengembangkan hubungan diplomatiknya. – AFP