Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Jepun, Arab Saudi sah ke Piala Dunia

    SYDNEY, 24 MAC – Pemain gantian, Kaoru Mitoma meledak dua gol pada minit-minit akhir ketika Jepun menewaskan Australia 2-0 hari ini dan menempah tiket ke Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut dan dengan berbuat demikian turut membantu Arab Saudi melayakkan diri.

    Ia merupakan satu tamparan hebat buat Socceroos yang kini perlu berdepan playoff untuk menghidupkan peluang mereka ke Qatar.

    Perlawanan di Sydney nampaknya akan memberikan keputusan seri sebelum Mitoma menyempurnakan sepakan jarak dekat pada minit ke-89 dan kemudian sekali lagi meledak pada masa kecederaan sekali gus mencetuskan sorakan gembira daripada pelawat.

    Kemenangan membantu Jepun ke persada kelayakan Kumpulan B Asia dengan 21 mata, enam di depan Australia dengan berbaki satu perlawanan.

    Arab Saudi pula, dengan 19 mata akan berdepan China di Sharjah tetapi sudah memastikan tempat ke Qatar berikutan kemenangan Jepun.

    Reaksi Kaoru Mitoma selepas menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan Piala Dunia di antara Jepun dan Australia di Stadium Australia di Sydney kelmarin. – AP

    Australia yang kini tidak boleh menamatkan saingan di kedudukan lebih tinggi daripada tiga, akan melalui playoff menentang pasukan ketiga terbaik Kumpulan A Asia.

    Pemenang seterusnya akan menentang pasukan dari Amerika Selatan untuk tempat ke Qatar pada akhir tahun ini.

    Jepun memulakan kempen kelayakan mereka dengan dua kekalahan daripada tiga perlawanan pertama, namun kini berjaya memenangi enam perlawanan berturut-turut.

    Mereka memasuki pertarungan berisiko tinggi di depan hampir 42,000 peminat di Stadium Australia dengan kelebihan yang menonjol. Kemenangan terakhir Australia ke atas mereka adalah pada 2009 dan skuad Hajime Moriyasu meraih kemenangan 2-1 apabila
    kedua-dua pasukan bertemu pada Oktober.

    Australia turut kehilangan beberapa siri pemain disebabkan koronavirus atau kecederaan, termasuk pasangan berpengaruh Aaron Mooy dan Tom Rogic.

    Namun sebagai rangsangan, jurulatih Graham Arnold kembali selepas mengasingkan diri selama tujuh hari setelah diuji positif COVID minggu lalu.

    Juga di Asia, Korea Selatan dan Iran telah pun melayakkan diri ke Qatar. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...