Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Jepun, Australia kukuh hubungan pertahanan

    TOKYO, 15 JUN – Menteri pertahanan Jepun dan Australia hari ini berjanji untuk meningkatkan hubungan mereka untuk menyokong nilai demokrasi di wilayah Indo-Pasifik dan bersetuju untuk bekerjasama dengan lebih erat dengan negara-negara di Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik di mana China ingin mengembangkan pengaruhnya.

    Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles dan rakan sejawatnya dari Jepun, Nobuo Kishi berkata kerjasama di rantau itu adalah diperlukan untuk mengekalkan dan mengukuhkan ketenteraman di Indo-Pasifik, di mana terdapat kebimbangan mengenai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang mungkin memberanikan China untuk mengembangkan pengaruhnya.

    Rundingan antara kedua-dua menteri itu diadakan tiga hari selepas mereka membuat pertemuan di Singapura pada forum keselamatan Dialog Shangri-La.

    “Ia jelas bahawa rantau ini berdepan dengan keadaan strategik paling kompleks yang pernah kita hadapi sejak tamat Perang Dunia Kedua dan apa yang penting bagi rantau ini,” Marles memberitahu semasa sidang berita bersama di Tokyo selepas mengadakan rundingan bersama Kishi.

    “Hanya dengan menjalin kerjasama kita boleh menegakkan ketenteraman antarabangsa, menyumbang kepada keseimbangan efektif kuasa tentera di rantau kita terus stabil, aman dan makmur,” tambah Marles.

    Kishi berkata mereka mengongsikan kebimbangan mengenai impak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Dia berkata mereka tetap menolak sekerasnya terhadap sebarang perubahan perjanjian dua hala di lautan Timur dan Selatan China dan menegaskan semula komitmen mereka terhadap visi bersama tentang laut antarabangsa ‘yang bebas dan terbuka’.

    “Ia adalah amat penting untuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan serantau, terutama dengan ASEAN dan kepulauan Pasifik, untuk mengekalkan dan memperkuat Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” katanya.

    Jepun dan Australia pada Januari menandatangani perjanjian akses timbal balik untuk membolehkan tentera mereka memasuki negara masing-masing bagi tujuan latihan dan tujuan ketenteraan lainnya serta untuk bekerjasama dengan lebih erat.–AP

    Richard Marles dan Nobuo Kishi berjabat tangan selepas sidang media bersama yang diadakan di Kementerian Pertahanan di Tokyo, 15 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...