Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun bakal bina sistem pengangkutan kargo automatik

    TOKYO, 3 NOV – Jepun merancang untuk membina koridor pengangkutan kargo automatik antara Tokyo dan Osaka, yang digelar sebagai ‘jalan tali sawat penghantar’ oleh kerajaan, bagi menampung kekurangan pemandu trak.

    Jumlah pembiayaan untuk projek itu belum ditetapkan. Namun ia dilihat sebagai satu cara utama untuk membantu negara menghadapi penghantaran yang meningkat.

    Video grafik komputer yang dikeluarkan oleh kerajaan menunjukkan kotak besar beroda bergerak di sepanjang koridor tiga lorong, juga dipanggil ‘jalan aliran automatik,’ di tengah-tengah lebuh raya besar.

    Sistem percubaan akan mula menjalankan ujian pada 2027 atau awal 2028, menyasarkan beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan 2030an.

    “Kita perlu inovatif dengan cara kita menggunakan jalan raya,” kata Yuri Endo, timbalan pengarah kanan yang menyelia usaha di Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan.

    Gambar diambil daripada video rasmi YouTube kerajaan menunjukkan jalan tali pesawat penghantaran. – AP

    Selain menampung tenaga buruh yang semakin berkurangan dan keperluan untuk mengurangkan beban kerja untuk pemandu, sistem itu juga akan membantu mengurangkan pelepasan karbon, katanya.

    “Konsep utama jalan aliran automatik adalah untuk mewujudkan ruang khusus dalam rangkaian jalan raya untuk logistik, menggunakan sistem pengangkutan automatik dan tanpa pemandu 24 jam,” kata Endo.

    Pelan itu mungkin kelihatan seperti penyelesaian yang hanya berfungsi dalam masyarakat berpenduduk padat dengan kadar jenayah agak rendah seperti Jepun, bukan negara yang luas seperti Amerika Syarikat.

    Namun idea serupa sedang dipertimbangkan di Switzerland dan Great Britain. Pelan di Switzerland melibatkan laluan bawah tanah, manakala yang sedang dirancang di London akan menjadi sistem automatik sepenuhnya yang menggunakan motor linear kos rendah.

    Di Jepun, pemunggahan akan diautomasikan, menggunakan forklift dan diselaraskan bersama lapangan terbang, kereta api dan pelabuhan.

    Kotak-kotak berukuran hampir enam kaki atau 3.6 kaki lebar dan panjang, kira-kira saiz sebuah almari besar.

    Sistem itu, yang juga dihasrat digunakan untuk penghantaran perniagaan, boleh diperluaskan ke laluan lain jika semuanya berjalan lancar. Pemandu manusia mungkin masih perlu melakukan penghantaran jarak jauh ke pintu rumah orang ramai, walaupun teknologi tanpa pemandu mungkin digunakan pada masa hadapan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda