BOGOR, 12 JAN – Jepun akan menyerahkan dua bot berkelajuan tinggi kepada Indonesia, kata Perdana Menteri Shigeru Ishiba kelmarin, ketika Tokyo berusaha memperkukuhkan kerjasama keselamatan maritim serantau berhadapan dengan persaingan tuntutan wilayah dengan China.
Ishiba membuat janji tersebut semasa lawatan ke Jakarta, di mana beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengenai pelbagai isu dua hala.
“Kami bersetuju untuk mewujudkan perbincangan pertahanan peringkat kerja mengenai keselamatan maritim kami, termasuk kerjasama teknikal peralatan pertahanan,” kata Ishiba dalam satu kenyataan bersama.
“Kami juga bersetuju untuk menyediakan bot peronda berkelajuan tinggi melalui Bantuan Keselamatan Rasmi, akan menjadi yang pertama bagi Indonesia”.
Beliau berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerjasama dalam sektor tenaga rendah karbon, seperti tenaga geo-terma, hidrogen, ammonia dan bahan api.
Sebelum tiba di Jakarta, Ishiba mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur dengan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dan menggambarkan pengukuhan hubungan dengan Asia Tenggara sebagai ‘salah satu keutamaan terbesar’ untuk Jepun.
Perjalanan itu memberikan beliau kesedaran mengenai ‘pertumbuhan pesat kedua-dua negara’ dan mengesahkan pandangannya bahawa Jepun dan sekutu utama, Amerika Syarikat (AS), mesti terus melibatkan negara-negara Asia Tenggara. – AFP
