Jepun batal sambutan kelahiran Maharaja

TOKYO, 17 FEB – Jepun berkata hari ini ia akan membatalkan perhimpunan awam untuk meraikan kelahiran Maharaja baharu Naruhito, tatkala kebimbangan meningkat mengenai penularan koronavirus baharu dalam negara.

“Memandangkan situasi yang berlaku, kami telah memutuskan untuk membatalkan lawatan oleh orang awam ke istana sempena hari jadi Baginda,” kata agensi keluarga maharaja dalam satu kenyataan sehari selepas kerajaan mengingatkan orang ramai supaya mengelak tempat sesak dan ‘perhimpunan tidak penting.’

“Kehadiran Baginda pada pagi serta majlis menandatangani buku acara akan dibatalkan.”

Sekurang-kurangnya 60 orang di Jepun setakat ini telah didiagnosis dijangkiti virus tersebut, dengan Menteri Kesihatan Katsunobu Kato mengingatkan semalam bahawa negara ‘sedang memasuki fasa baharu’ wabak.

“Kami mahu meminta orang ramai supaya mengelak perhimpunan tidak penting. Kami mahu orang tua dan mereka yang memiliki masalah kesihatan supaya mengelak tempat sesak,” kata beliau.

Perhimpunan hari jadi pada 23 Februari dibatalkan apabila media tempatan melaporkan bahagian amatur Maraton Tokyo, dijadual diadakan pada 1 Mac, akan dibatalkan.

“Kami tidak mempunyai keputusan formal untuk diumumkan lagi. Kami sedang mengkaji dan sebaik sahaja keputusan diambil, kami akan mengumumkannya, pada hari ini,” beritahu jurucakap penganjur kepada AFP. Sambutan hari jadi untuk Maharaja Naruhito akan menjadi yang pertama sejak beliau menaiki takhta pada tahun lalu. – AFP