Jepun batal sistem pertahanan peluru berpandu AS

TOKYO, 25 JUN – Jepun telah membatalkan penghantaran sistem antipeluru berpandu AS bernilai berbilion dolar, kerajaan mengesahkan hari ini, selepas mengatakan program itu telah ditangguhkan.

Alat pemintas bagi sistem Aegis Ashore akan ditempatkan di dua rantau di bawah program kontroversi dan menelan belanja besar.

Namun kerajaan mengubah tindakan itu setelah mendapat tekanan daripada penduduk tempatan yang bimbang tentang risiko daripada sistem pertahanan peluru berpandu di halaman mereka itu.

“Majlis Keselamatan Negara membincangkan perkara ini dan mencapai kesimpulan yang penghantaran Aegis Ashore di Akita dan Yamaguchi akan dibatalkan,” kata Menteri Pertahanan, Taro Kono kepada mesyuarat pemerintahan Parti Demokratik Liberal.

“Saya memohon maaf atas perkara tersebut.”

Hari ini juga, Kono turut menyatakan Tokyo dan Washington sedang membincangkan bagaimana untuk menangkis ancaman peluru berpandu dari Pyongyang selepas membatalkan pelan sistem pertahanan berkontroversi itu. – AFP

Taro Kono bercakap semasa sidang media di Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo pada 25 Jun. – AFP