Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Jepun batalkan larangan kapal persiaran

    TOKYO, 15 NOV – Jepun akan membatalkan larangan lebih dua setengah tahun ke atas kapal persiaran antarabangsa yang dilaksanakan sejurus wabak koronavirus maut di atas kapal persiaran Diamond Princess pada permulaan pandemik, menurut pegawai pengangkutan hari ini.

    Kementerian Pengangkutan mengatakan operator kapal persiaran dan persatuan pihak berkuasa pelabuhan telah mengambil pendekatan panduan antivirus dan Jepun kini sudah bersedia untuk menyambung semula operasi kapal persiaran antarabangsa sekali gus menerima kapal-kapal dari negara asing di pelabuhannya.

    “Jepun kini bersedia menerima kapal persiaran antarabangsa sekali lagi,” kata Menteri Pengangkutan dan Pelancongan, Tetsuo Saito. “Kami akan membentuk satu persekitaran yang akan membolehkan para pelancong menikmati pelayaran mereka tanpa kebimbangan semasa di Jepun.”

    Jadual tepat bagi pelayaran kapal persiaran belum diumumkan. Antara yang pertama ialah kapal Jepun yang berlepas dari Yokohama pada Disember dan kembali pada Januari tahun ini.

    Jepun telah melarang kapal-kapal persiaran antarabangsa sejak Mac 2020, selepas wabak COVID menular di dalam Diamond Princess yang memaksa 3,711 penumpang dan kru dikuarantin dalam kapal selama dua minggu, yang mana 13 daripadanya mati dan 700 lagi dijangkiti COVID.

    Jepun memilih mengasingkan kru dan penumpang dalam kapal sebagai cara mengawal sempadan, namun ia juga dikritik kerana menjadikan kapal sebagai inkubator virus.

    Operator kapal persiaran dijangka berbincang dengan pihak berkuasa butiran lanjut mengenai rancangan kemasukan ke pelabuhan. Penyambungan operasi kapal persiaran antarabangsa berlaku setahun selepas kapal persiaran kembali ke Amerika Syarikat dan Eropah. – AFP

    Bot navigasi kecil kelihatan berhampiran kapal persiaran Diamond Princess yang berlabuh di Yokohama dalam gambar fail 4 Februari. Jepun kini akan membenarkan kapal-kapal persiaran beroperasi selepas dua tahun larangan akibat COVID. – AP
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...