Jepun batalkan separa perintah kecemasan

TOKYO, 26 FEB – Jepun akan menamatkan perintah kecemasan koronavirus lebih awal di beberapa kawasan ketika kadar jangkitan semakin perlahan, kata Perdana Menteri Yoshihide Suga hari ini, kurang daripada lima bulan sebelum Tokyo Olimpik yang dibatalkan tahun lalu, dijangka bermula.

Langkah perintah kecemasan – ketika ini dikuatkuasakan di 10 kawasan termasuk Tokyo – adalah lebih longgar berbanding perintah berkurung ketat dilihat di negara-negara lain di dunia, kebanyakannya hanya mengutamakan penutupan bar dan restoran bermula jam 8 malam.

Ia dijangka berakhir pada 7 Mac, namun kerajaan akan membatalkan langkah itu Ahad ini, seminggu lebih awal di enam buah wilayah yang jauh dari ibu negara Jepun, kata Suga.

Langkah itu dikekalkan bagi kawasan Tokyo yang lebih besar, tambahnya, yang menyaksikan kiraan jumlah jangkitan yang lebih rendah namun membebankan sistem perubatan.

“Saya memutuskan untuk membatalkan perintah kecemasan pada 28 Februari bagi enam kawasan,” kata Suga memberitahu wartawan di pejabat perdana menteri. – AFP

Seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung bagi membantu mengekang penularan koronavirus, berjalan berhampiran pemidang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Perdana menteri Jepun mengumumkan perintah kecemasan akan dibatalkan lebih awal di beberapa kawasan yang rendah penularan koronavirus. – AP