Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jepun berdepan krisis tenaga

    TOKYO, 22 MAC – Rakyat Jepun digesa menjimatkan tenaga hari ini ketika kerajaan memberi amaran potensi bergelap di rantau Tokyo kerana kekurangan penjanaan kuasa selepas beberapa loji tenaga arang dihentikan sementara susulan gempa bumi minggu lalu.

    Amaran yang jarang itu diumumkan ketika orang ramai menggunakan lebih banyak pemanas berbanding kebiasaan akibat turunan salji dan cuaca sejuk luar biasa menjelang awal musim bunga.

    Gempa bumi 7.4 magnitud di pesisir Fukushima pada 16 Mac meragut empat nyawa dan mencederakan lebih daripada 200 lagi. Ia mengingatkan negara itu terhadap gempa bumi dan tsunami maut yang menggegarkan pada Mac 2011, membunuh ribuan orang, mencetuskan bencana nuklear dan menjejaskan sebahagian besar timur laut Jepun.

    Gempa bumi minggu lalu mengakibatkan bekalan tenaga terputus seketika, menjejaskan dua juta kediaman di Tokyo dan lapan lagi kawasan lain, ketika loji arang batu di rantau yang dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Company Holdings menilai dan memperbaiki kerosakan.

    Beberapa lagi loji masih lagi tidak beroperasi dan mungkin tidak dapat menyambung operasi dalam masa beberapa bulan akan datang.

    Dengan grid kuasa terbeban, Menteri Ekonomi dan Industri, Koichi Hagiuda memberi amaran usaha penjimatan elektrik mungkin tidak akan menghindari putusnya bekalan elektrik.

    Dia menggesa kompleks membeli-belah, pasar raya dan kedai-kedai serba neka untuk menutup tanda neon mereka dan menggesa kilang menjimatkan tenaga semaksimum mungkin. – AP

    Orang ramai berjalan di hadapan skrin besar yang memaparkan berita gesaan menjimatkan kuasa elektrik di Tokyo, 22 Mac. Kerajaan Jepun memberi amaran kepada penduduknya mengenai potensi bergelap kerana kekurangan bekalan tenaga selepas loji tenaga arang tidak beroperasi disebabkan gempa bumi minggu lalu. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...