Sunday, November 27, 2022
22 C
Brunei

-

Jepun beri penghormatan kepada Abe

TOKYO, 27 SEPT – Rakyat Jepun dan perwakilan asing memberikan penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri Shinzo Abe pada majlis pengebumian negara mengundang kontroversi hari ini, ketika orang ramai berhimpun dalam barisan panjang untuk meletakkan kalungan bunga dan berdoa.

Abu Abe dibawa oleh balunya, Akie, tiba di venue Budokan bertingkat di Tokyo, di mana 19 tembakan meriam tanda penghormatan dilepaskan bagi menghormati bekas perdana menteri yang maut dibunuh itu.

Dalam euloginya, Perdana Menteri Fumio Kishida menerangkan ahli politik itu sebagai ‘orang yang berani’, menyenaraikan pencapaiannya termasuk usaha mengukuhkan hubungan diplomatik Jepun.

“Saya sangat sedih,” kata Kishida sambil menghadap gambar Abe yang tergantung di atas jambangan besar bunga digunakan untuk memaparkan abu, pingat dan bendera Jepun.

Abe merupakan perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat dan salah seorang daripada tokoh politik paling diiktiraf, terkenal kerana menyemai jalinan pakatan antarabangsa dan strategi ekonomi ‘Abenomicsnya’.

Mendiang Abe meletak jawatan dalam 2020 kerana masalah kesihatan berulang, namun kekal sebagai ahli politik utama dan sedang berkempen bagi parti memerintah apabila seorang lelaki membunuhnya dengan senjata buatan sendiri pada 8 Julai lalu.

Potret mendiang bekas perdana menteri Shinzo Abe kelihatan di altar semasa pengebumian negara di Nippon Budokan, Tokyo, 27 September. – AP

Pembunuhan itu menggegarkan seluruh negara yang terkenal kerana kadar jenayah bersenjata yang rendah dan mencetuskan kecaman antarabangsa.

Namun keputusan untuk mengadakan pengebumian negara buatnya – bekas perdana menteri kedua yang diberikan penghormatan seumpamanya pasca perang – mencetuskan bantahan, dengan sekitar 60 peratus rakyat Jepun membantahnya dalam satu tinjauan pendapat baru-baru ini.

Pemimpin dunia termasuk Naib Presiden AS, Kamala Harris, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese adalah antara yang hadir di Budokan.

Di luar kawasan itu, beribu-ribu orang berdiri dalam barisan ketika abu Abe tiba, menunggu untuk meletakkan kalungan bunga dan berdoa dalam dua khemah bagi orang berkabung.

Salah seorang yang berbaris, Koji Takamori datang dari utara Hokkaido bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun.

“Saya mahu berterima kasih kepadanya. Beliau telah banyak berjasa kepada Jepun,” kata lelaki berusia 46 tahun itu kepada AFP.

“Cara beliau mati adalah amat mengejutkan. Sejujurnya, saya datang juga kerana banyak bantahan. Ia seperti saya berada di sini untuk membantah mereka yang tidak bersetuju dengan pengebumian ini,” tambahnya.

Pembantah pengebumian juga berada di luar, berarak berhampiran khemah sebelum mengadakan demonstrasi di hadapan parlimen. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -