Jepun boleh atasi rintangan untuk kelayakan Piala Dunia

TOKYO, 26 JAN – Jepun boleh mengatasi kehilangan separuh pertahanan mereka akibat kecederaan dan mengambil langkah besar ke arah kelayakan Piala Dunia minggu ini, kata pemain penyerang dari Liverpool, Takumi Minamino hari ini.

Kapten Maya Yoshida dan pemain bek Arsenal, Takehiro Tomiyasu, kedua-duanya telah diketepikan daripada aksi kelayakan Jepun menentang China pada Khamis dan Arab Saudi pada 1 Februari.

Tetapi Minamino menegaskan bahawa juara Asia empat kali itu mempunyai kualiti pemain simpanan yang mencukupi untuk menyelesaikan tugas dan sangat dekat untuk membuat penampilan Piala dunia ketujuh berturut-turut di Qatar.

“Semestinya, tidak mempunyai kapten kami boleh menjadi perkara yang negatif, tetapi dalam saat-saat seperti ini akan membawa pasukan lebih bersatu,” kata Minamino.

“Ia adalah sukan secara berpasukan jadi kami hanya perlu mengatasinya. Kami tidak terlalu memberi perhatian terhadapnya dan kami mempunyai ramai pemain lain yang bagus.”

Yoshida mengalami kecederaan semasa bermain untuk pasukan kelab Itali, Sampdoria pada awal bulan ini, sementara Tomiyasu dikeluarkan daripada pasukannya pada Ahad lalu.

Jepun telah pulih daripada permulaan sukar untuk menaiki ke tempat kedua dalam kumpulan B, satu mata di hadapan pasukan Australia yang berada di tempat ketiga dan empat mata di belakang pendahulu, iaitu Arab Saudi.

Pasukan Hajime Moriyasu mengharungi perlawanan mereka menentang China dengan tiga kemenangan berturut-turut, dan dia yakin mereka mampu mengatasinya.

“Maya dan Tomi telah banyak menyumbang dan ia adalah satu kerugian yang besar jika mereka tidak dapat berada di sini, tetapi ia lebih menyakitkan mereka daripada sesiapapun,” katanya. – AFP

Takumi Minamino berkata Jepun boleh mengatasi kehilangan separuh pertahanan mereka akibat kecederaan dan mengambil langkah besar ke arah kelayakan Piala Dunia. – AFP