Jepun buang air radioaktif ke laut

TOKYO, 16 OKT – Jepun akan membuang lebih daripada satu juta tan air radioaktif dari loji nuklear Fukushima ke dalam laut dalam operasi berdekad-dekad lamanya, kata laporan hari ini, meskipun menerima tentangan dari nelayan tempatan.

Pembuangan air tersebut, yang telah ditapis untuk mengurangkan keradioaktifan, mungkin bermula pada 2022 paling awal, kata akhbar Nikkei, Yomiuri dan media tempatan lain.

Keputusan itu menamatkan perdebatan bertahun-tahun lamanya mengenai cara-cara membuang cecair yang termasuk air yang digunakan untuk menyejukkan stesen tenaga selepas ia dilanda tsunami besar pada tahun 2011.

Panel kerajaan berkata pada awal tahun bahawa pembuangan air ke dalam laut atau menyejatkannya merupakan ‘opsyen realistik.’

“Kami tidak dapat menangguhkan satu keputusan mengenai rancangan menyelesai isu air diproses, untuk mengelak penangguhan dalam kerja-kerja di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato hari ini, tanpa memberi komen mengenai pelan atau masanya.

Terdapat kira-kira 1.23 juta tan air buangan yang disimpan dalam tangki di loji itu, menurut operator loji TEPCO, yang juga enggan memberi komen mengenai laporan itu.

Aktivis alam sekitar telah menzahirkan bantahan kuat terhadap cadangan itu, dan nelayan serta petani meluahkan kebimbangan pengguna tidak akan membeli makanan laut dan hasil keluaran dari rantau itu. – AFP