Jepun buka pusat vaksinasi mega menjelang Olimpik

TOKYO, 24 MEI – Jepun hari ini membuka pusat vaksinasi mega dalam usahanya mempercepatkan program inokulasi COVID-19 dua bulan sebelum Olimpik Tokyo, yang tahun lalu ditangguhkan kerana virus itu.

Dua pusat tentera di Tokyo dan Osaka akan menjalankan beribu-ribu suntikan vaksin setiap hari, dengan fasa awal bagi penduduk warga emas di bandar-bandar besar, ketika negara itu memerangi gelombang keempat kes-kes virus.

Hanya dua peratus daripada 125 juta populasi Jepun yang sudah pun divaksin sepenuhnya setakat ini – berbanding sekitar 40 peratus di Amerika Syarikat dan 15 peratus di Perancis.

Jepun sudah pun berdepan kritikan demi kritikan atas kelembapan proses inokulasi, dihambat oleh peraturan perubatan yang ketat dan kerumitan birokrasi, namun orang pertama mendapatkan suntikan di pusat Tokyo mengatakan mereka teruja untuk meneruskan kehidupan normal mereka.

“Seronok rasanya. Saya kini boleh bertenang.

“Dalam masa yang agak lama, setahun setengah yang lalu, saya agak bimbang dan tertekan,” kata Hideo Ishikawa, 73, memberitahu wartawan.

Manakala Munemitsu Watanabe, seorang pensyarah kejuruteraan berusia 71 tahun, juga melahirkan kelegaan namun mengatakan pemberian vaksin sepatutnya lebih cepat lagi.

Pusat di Tokyo berhasrat melakukan sehingga 10,000 suntikan sehari, manakala pusat di Osaka akan memberikan sebanyak 5,000 suntikan. Kedua-duanya menggunakan vaksin dua suntikan, Moderna yang diluluskan penggunaannya di Jepun pada Jumaat lalu dan juga AstraZeneca. – AFP

Orang ramai berhimpun untuk menerima vaksin koronavirus Moderna di pusat vaksinasi mega yang baru dibuka di Bandar Toyoake, wilayah Aichi, Jepun, 24 Mei. – AFP