TOKYO, 20 OKT – Jepun dan China mungkin akan membuka semula pintu masuknya untuk ahli perniagaan kedua-dua negara mulai bulan ini, sebagai sebahagian usaha Tokyo memulihkan ekonomi domestiknya, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan pada Selasa.
“Jepun dan China negara jiran yang sangat penting, banyak perjalanan pergi balik antara kedua-dua negara sebelum COVID-19 muncul,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato pada sidang akhbar.
Perjalanan antara negara ekonomi kedua dan ketiga terbesar dunia itu dijangka dibuka semula bulan ini dan pegawai kedua-dua negara sedang membincangkan kaedahnya.
Pada 2019, lebih 9.5 juta rakyat China, termasuk ahli perniagaan, mengunjungi Jepun. – Bernama