TOKYO, 11 MEI – Kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan untuk menarik balik darurat di sebahagian besar wilayah negara ini, kata pegawai kelmarin, lapor agensi berita Kyodo.
Darurat dijangka akan ditarik balik di 34 daripada 47 wilayah mulai Khamis ini jika memenuhi syarat ditetapkan iaitu kes jangkitan koronavirus menurun setiap minggu dan sistem perubatan serta pemantauan yang mencukupi.
Panel pakar penyakit berjangkit dijadualkan bermesyuarat Khamis ini dan menilai keadaan semasa. “Sebanyak 34 wilayah itu tidak melaporkan kes dalam tempoh satu atau dua minggu kebelakangan ini,” kata Menteri Pembangunan Ekonomi Yasutoshi Nishimura pada sidang media.
Sementara 13 lagi wilayah memerlukan langkah pencegahan yang lebih khusus kerana jumlah kes baharu yang agak tinggi, ia termasuk Tokyo, Kanagawa, Saitama, Chiba, Osaka, Hyogo, Fukuoka, Hokkaido, Ibaraki, Ishikawa, Gifu, Aichi dan Kyoto. – Bernama




























