Jepun dipaksa pinda belanjawan

TOKYO, 11 Jan – Jepun hari ini berkata ia perlu meminda belanjawan akan datang bagi membiayai pampasan kepada warga pekerjanya tidak menerima faedah yang setimpal selama bertahun-tahun gara-gara skandal melibatkan data buruh yang salah.

Kementerian buruh minggu ini mengakui telah bertahun-tahun gagal mengumpulkan data lengkap laporan pekerjaan bulanannya yang dipantau dengan teliti sebagai penunjuk upah dan jam kerja. Data ini membantu menentukan pelbagai manfaat kerajaan termasuk insurans pekerjaan.

Para pegawai sepatutnya mengumpulkan data dari semua firma dengan 500 atau lebih pekerja tetapi di Tokyo hanya kira-kira sepertiga daripada 1,400 firma sedemikian ditinjau.

Skandal itu bermula pada 2004 dan sejumlah 53 bilion yen (AS$490 juta) akan dibayar kepada 20 juta pekerja, kata kementerian itu.

“Saya telah menerima laporan daripada kementerian buruh dan kebajikan bahawa mereka perlu menyediakan insurans pekerjaan dan pembayaran lain secara retroaktif,” kata jurucakap tertinggi kerajaan Yoshihide Suga kepada wartawan.

“Kami akan melakukan penyelarasan untuk membuat peruntukan bajet yang diperlukan dalam bajet fiskal 2019 yang bermula pada April,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan kini meneliti berpuluh set data utama yang lain.

Menteri Buruh mengakui bahawa beliau menerima laporan mengenai masalah itu seawal 20 Disember. Namun, kementerian itu terus menerbitkan data pada 21 Disember dan 9 Januari seolah-olah ia tahu masalah persampelan sekali gus menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaan statistik rasmi dalam ekonomi ketiga terbesar di dunia itu.

Kajian bulanan pekerja telah dipantau oleh kerajaan dan Bank of Japan sebagai petunjuk untuk keputusan dasar ekonomi mereka. Suga berkata, adalah ‘amat dikesali’ bahawa keyakinan dalam kaji selidik itu goyah. Menteri Buruh Takumi Nemoto menyuarakan ‘permohonan maaf yang ikhlas kerana menimbulkan masalah kepada rakyat’. – AFP

Gambar fail 14 November 2018 menunjukkan warga kerja Jepun melintasi sebatang jalan di Daerah Shinjuku. Jepun terpaksa meminda belanjawannya bagi membiayai pampasan kepada warga pekerjanya yang tidak menerima faedah setimpal selama bertahun-tahun. – AFP