Jepun enggan sertai tawaran vaksin China

TOKYO, 12 MAC – Jepun tidak akan mengambil bahagian dalam tawaran China – diterima oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa – untuk menyediakan vaksin kepada ‘peserta’ dalam Sukan Tokyo yang ditunda dan Sukan Musim Sejuk Beijing pada tahun depan.

Menteri Olimpik Tamayo Marukawa berkata hari ini Jepun belum berunding dengan IOC mengenai vaksin China, dan atlet Jepun tidak akan menerimanya. Beliau berkata vaksin masih belum diluluskan untuk kegunaan di Jepun.

“Kami telah mengambil langkah pencegahan penyakit secara komprehensif untuk Sukan Tokyo demi membenarkan penyertaan tanpa vaksinasi,” kata Marukawa. “Tidak adanya perubahan dalam dasar kami yang tidak menjadikan vaksinasi sebagai satu prasyarat.”

Diumumkan oleh Presiden IOC Thomas Bach semalam, perjanjian mengejutkan itu dicapai ketika China berdepan tekanan antarabangsa berhubung penahanan sekurang-kurangnya 1 juta penduduk Uighur, yang telah dilabel sebagai ‘genosid’ oleh beberapa kerajaan dan badan hak asasi manusia.

IOC berkata ia adalah badan sukan dan tidak akan campur tangan dalam isu domestik di China.

Marukawa berkata Olimpik akan diadakan seolah-olah vaksin tidak disediakan, dan bergantung pada ujian, penutup mulut dan hidung, penjarakan sosial serta mengekalkan atlet dalam ‘gelembung’.

Sementara itu, Hashimoto berkata keputusan mengenai peminat dari luar negara akan dibuat sebelum larian obor bermula pada 25 Mac. Pelbagai laporan di Jepun berkata keputusan telah pun diambil untuk mengharam pelawat asing. Beliau juga berkata keputusan mengenai kapasiti tempat akan dibuat pada April. – AP

Seiko Hashimoto bercakap semasa sidang media pada 11 Mac 2021, selepas menghadiri mesyuarat agung Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. – AP