TOKYO, 28 MEI – Jepun akan menghantar tambahan 2,000 penjana oksigen dan 1,000 ventilator paru-paru, bernilai AS$14.8 juta, ke India, sebagai sebahagian daripada pakej bantuan AS$50 juta untuk memerangi pandemik COVID-19, umum kementerian luar pada Jumaat.
“Susulan penyebaran pantas penyakit COVID-19, kerajaan Jepun memutuskan untuk menghantar bantuan bernilai AS$14.8 juta ke India. Keputusan ini adalah sebahagian daripada bantuan (pakej) percuma AS$50 juta.
“Kami akan menghantar 1,000 ventilator paru-paru dan 2,000 penjana oksigen melalui saluran UNOPS (Projek Perkhidmatan untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” kata kementerian itu dalam kenyataan yang diterima Sputnik, sambil menambah ini akan menjadikan jumlah keseluruhan peralatan yang dihantar kepada 1,800 ventilator paru-paru dan 2,800 penjana oksigen. – Bernama